BIOLOGI, KEGUNAAN, TERNAKAN DAN PROSPEK
Hj. Rosly bin Hassan,
Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar,
Bahaggian Penyelidikan,
Jabatan Perikanan Malaysia,
Glami Lemi, 71650 Titi, Jelebu,
Negeri Sembilan
Biologi
Lintah adalah haiwan akuatik daripada filum Annelida dan famili Hirudinidae. Dilapurkan terdapat 6 spesis lintah tempatan, amnya dikenali sebagai lintah sawah atau lintah kerbau. Bagaimana pun belum ada pengesahan taksonomi keatas spesis-spesis tersebut oleh mana-mana pihak. Ini telah menimbulkan kekeliruan mengenai spesis-spesis lintah yang diternak. Kekeliruan adalah diantara lintah Eropah, Hirudo medicinalis dan spesis tempatan, Hirudinaria sp. Di bawah CITES, lintah Eropah, H. medicinalis adalah spesis terancam (di bawah Appendik II). Ianya spesis yang beriklim “temperate” dan tidak mungkin H. medicinalis sesuai diternak dalam negara. Amnya, lintah adalah ektoparasit dan menghisap darah (sanguivorous). Dihabitat semulajadinya, ia akan menghisap darah ikan, katak, kerbau dan sekiranya ada kesempatan, juga manusia. Bagaimanapun ianya tidak bergantung kepada darah semata-mata untuk hidup. Lintah juga bersifat karnivor, memakan lain-lain hidupan akuatik seperti cacing, serangga dan ikan.
Lintah di dalam tangki ternakan
Oleh kerana tiada maklumat biologi mengenai lintah-lintah tempatan, biologi lintah-lintah India boleh dijadikan panduan dan rujukan. Terdapat 4 spesis lintah India, Hirudinaria viridis, H. manillensis, H. javanica dan H. granulosa. Yang dikatakan “India cattle leech” ialah H. granulosa. Maka maklumat biologi H. granulosa adalah lebih relevan kepada lintah tempatan. Walaupun tanpa sokongan taksonomi yang lengkap, H. manillensis diakui ramai penternak sebagai spesis tempatan yang diternak. Namun begitu lintah-lintah yang diternak dilapurkan daripada jenis-jenis perut hijau dan perut coklat pula. Isu-isu berkaitan genetiks dan taksonomi lintah tempatan perlu diberi perhatian. Analisis DNA boleh mengesahkan samada lintah perut hijau dan lintah perut perang adalah spesis yang sama.Lintah adalah hemaprodit (mempunyai kedua-dua organ seks jantan dan betina), tetapi memerlukan pasangan dalam pembiakan. Lintah Eropah dan lintah Asia menggunakan kokon sebagai sarang untuk embrionya. Semasa pertumbuhan di dalam kokon, embrio lintah bergantung kepada albumin sebagai sumber makanannnya. Pendapat yang mengatakan seekor lintah tempatan boleh menghasilkan beratus ekor anak adalah tidak begitu meyakinkan. Setakat ini yang diketahui hanya lintah Amazon (Haementeria ghiliani) sahaja yang ”melahirkan” beratus ekor anak tanpa kokon. Tiada maklumat yang boleh menyokong kenyataan bahawa spesies lintah-lintah Asia boleh menghasilkan beratus ekor anak. Contohnya Indian cattle leech (H. Granulosa), selepas 15 hari berada di dalam kokon, anak-anak lintah akan keluar, menyerupai bentuk lintah dewasa. Setiap kokon mengandungi 1-24 ekor anak lintah. Kajian-kajian makmal keatas Hirudinaria manillensis di China pula menunjukkan anak-anak lintah yang keluar daripada kokon hanyalah diantara 4-6 ekor sahaja. Bagi satu lagi lintah Asia iaitu Barbronia weberi yang matang, ia boleh menghasilkan kokon setiap minggu selama tiga bulan. Kemudian produktiviti dan kecergasannya menurun. Kokon B. weberi hanya mengandungi 1-5 telur sahaja dan anak-anaknya akan keluar daripada kokon dalam tempoh 30 hari. Juga terdapat berbagai maklumat yang agak mengelirukan berkenaan jangkahayat lintah tempatan yang dikatakan boleh hidup tidak sampai setahun. Sedangkan jangkahayat H. manillensis boleh mencapai sehingga 6-8 tahun.
Kegunaan
Kegunaan dan manfaat lintah di dalam bidang perubatan telah lama dikenali dan diakui. Amnya lintah-lintah yang dikategorikan sebagai “medicinal leeches” adalah lintah Eropah (H. medicinalis), lintah Asia (H. manillensis) dan lintah Amazon (Haementeria ghiliani). Pihak Food And Drug Administration di Amerika Syarikat (USFDA) hanya mengiktiraf kegunaan H. medicinalis sahaja bagi tujuan perubatan. Ianya sudah lama digunakan dalam bidang perubatan tradisional masyarakat Melayu, dicampur dengan berbagai herba dan kegunaannya sebagai minyak urut. Ia popular khususnya dalam merawat masalah-masalah berkaitan alat kelamin lelaki. Lintah mengandungi bahan-bahan yang boleh dimanafaatkan didalam perubatan, seperti hirudin (antipembekuan) dan hyaluronidase (enzim “manillase”). Hirudin diekstrak sebagai bahan perubatan untuk penyakit-penyakit kardiovaskular dan cerebrovascular. Teknologi pengasingan (isolation), purifikasi dan kaedah pengeluaran ”recombinant” enzim ”manillase” daripada H. manillensis telah pun dipatenkan. Enzim ini digunakan bagi tujuan terapeutik seperti rawatan penyakit-penyakit “myocardial”, “thrombotic events” dan tumor. Seperti mana gamat dan kuda laut, lintah yang telah dikeringkan juga digunakan didalam perubatan tradisional China. Lintah juga digunakan dalam terapi seperti bekam.
Ternakan
Perusahaan produk-produk berasaskan lintah secara tradisional bergantung kepada bekalan lintah liar. Bagaimanapun dalam tempoh kurang daripada lima tahun ini, telah muncul berbagai syarikat yang bersaing dalam mengusahakan produk-produk kesihatan berasaskan lintah. Berbagai jenama produk boleh didapati di farmasi dan toko-toko jamu.
Dengan pesatnya perkembangan industri produk-produk berasasakan lintah, permintaan keatas lintah meningkat secara mendadak. Oleh kerana bekalan lintah liar terhad, maka terdapat pihak-pihak yang mengambil inisiatif mengusahakan ternakan lintah. Berbagai pihak begitu aktif dalam menganjurkan kursus-kursus ternakan lintah dan menawarkan pakej “perladangan berkontrak”. Berbagai sistem dan kaedah ternakan diperkenalkan (kolam, tangki plastik/fiber dan tangki simen). Buat masa ini tiada satu amalan “standard” dalam ternakan lintah. Secara amnya induk lintah (bercampur jenis) dalam jumlah yang tertentu dilepaskan ke dalam kolam/tangki. Contohnya 5,000 ekor induk di dalam kolam berukuran 60’ x 20’ dan ada yang 200 ekor induk di dalam tangki simen berukuran 10’ x 5’. Tiada “complete harvest” sepertimana dalam amalan-amalan akuakultur lain. Oleh kerana jangka hayatnya yang singkat, akan terdapat berbagai generasi dalam sesebuah kolam/tangki. Untuk dibangunkan sebagai satu industri yang mapan, perlu ada satu kaedah ternakan yang melibatkan komponen-komponen seperti induk, benih dan ternakan. Diantara kekangan-kekangan ialah tiada R&D dan kekurangan maklumat biologi untuk menyokong industri ternakan.
Antara jenis-jenis tangki ternakan lintah dan baja pembiakan lintah
Industri ternakan lintah dalam negara masih baru. Masih tiada apa-apa masalah seperti penyakit, bekalan induk dan sebagainya sepertimana masalah-masalah yang dihadapi oleh lain-lain industri akuakultur. Bagi prospek ternakan lintah, isu atau kekangan utama ialah bekalan darah. Lintah memerlukan darah sebagai makanan. Belut sawah (Monopterus albus) dilepaskan ke dalam kolam ternakan lintah. Terdapat juga penternak yang menggunakan Keli Afrika sebagai alternatif. Diantara isu-isu penyelidikan yang dikenalpasti perlu diberi tumpuan ialah taksonomi/genetiks, biologi pembiakan, kaedah ternakan dan pemakanan. Sehingga kini institusi-institusi penyelidikan yang diketahui sedang memberi perhatian kepada lintah ialah Universiti Malaysia Terengganu (biologi, taksonomi & genetik), Universiti Teknologi Malaysia (ekstrak hirudin) dan Jabatan Perikanan Malaysia (PPPAT, Glami Lemi. Jelebu, N. Sembilan; biologi & ternakan).
Benih-benih lintah (bersaiz seperti lidi dan straw minuman) dijual diantara RM0.50-RM0.80/ekor atau RM300/kg. Lintah yang diternak dijual selepas berumur diantara 2-3 bulan dengan harga RM40-RM100/kg atau RM1.50-RM2.00/ekor. Harga induk lintah (bersaiz seperti rokok) pula ialah diantara RM1.20-RM1.80/ekor.
Prospek
Daripada perspektif prospek pasaran, produk-produk lintah adalah minyak yang berasaskan lintah, hirudin dan enzim ”manillase”. Pasaran produk-produk seperti minyak lintah adalah untuk pasaran domestik dan kemungkinan pasaran serantau sahaja. Tanpa ujian-ujian klinikal, adalah sukar untuk menembusi pasaran EU dan USA. Pasaran global yang sebenarnya ialah hirudin dan enzim ”manillase” bagi tujuan perubatan. Dilapurkan hirudin bernilai RM7,000.00/g.
Walaupun ada permintaan dan tawaran harga yang baik, untuk menampung (sustain) industri pada jangka masa panjang bekalan lintah perlu bergantung kepada aktiviti-aktiviti ternakan. Sehingga ini tiada maklumat mengenai jumlah penternak lintah dan perdagangan (volum & nilai) lintah dan produk-produk berasaskan lintah dalam pasaran. Walaubagaimanapun terdapat beberapa syarikat dalam negara yang mengiklankan jualan lintah melalui internet. Sehingga kini usaha-usaha penternakan lintah di Malaysia hanya berkisar diantara individu-individu/berkelompok yang sediada dengan penternak-penternak baru. Penternak lama membekalkan lintah dewasa (induk) kepada penternak baru. Penternak-penternak baru pula bertambah selepas menghadiri kursus-kursus ternakan lintah dan diberi gambaran boleh menjadi kaya raya. Ada juga pihak-pihak yang mengimport lintah dari Thailand bagi menampung permintaan penternak-penternak tempatan. Setakat ini tidak diketahui sebanyak mana sebenarnya lintah-lintah yang diternak telah diproses untuk dijadikan produk.
Di China terdapat dua syarikat iaitu Guangxi Lannuo Biotech Co. Ltd dan Nanning Kekang Biotech Co. Ltd yang menternak lintah H. manillensis secara berskala industri untuk menghasilkan hirudin. Guangxi Lannuo Biotech Co. Ltd telah memfailkan paten untuk sistem ternakan H. manillensis dan teknologi ekstrak hirudin. Kekang Biotech Sdn. Bhd. menyatakan ia mempunyai fasiliti ternakan H. manillensis yang terbesar di dunia. Selain itu, BioPharm di Wales, UK menternak H. medicinalis bagi tujuan kegunaan dalam perubatan.
Rencana menunjukkan kegunaan lintah dalam perubatan
Dipetik dari http://www.pppat.gov.my/culture/lintah/lintah.htm
No comments:
Post a Comment